Terdetik di hati penulis untuk mengarap soal berkaitan dengan pengurusan masa terutamanya apabila berkaitan dengan masyarakat Malaysia. Penulis memang cukup sensitif dengan soal ini apabila rata-rata masyarakat kita ambil lewa dengan masa. Apabila membuat janji, sering sekali masa yang dijanjikan tidak menepati masa dengan pelbagai alasan diberikan dan tidak munasabah.
Mentaliti dalam menepati masa memang sangat teruk. Kenapa ini sering terjadi sedangkan masyarakat luar negara maju rata-rata amat cukup sensitif perkara ini. Penulis tidak ingin mengulas tentang mana-mana bangsa di Malaysia, namun rakyat asing luar negara sudah sinomin dengan masyarakat Malaysia tentang budaya tidak menepati masa.
Adakah kita sudah sinomin dan terbiasa dengan perkara ini? Tiada harapan dan peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik? Dalam ajaran Islam sendiri telah mengajarkan bahawa pengurusan masa adalah amat penting sehinggakan Allah SWT bersumpah atas nama masa di dalam Surah Al-Asr yang bermaksud :
“ Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. “
” Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran. “
Bukan hanya dalam ajaran Islam menekankan akan pentingnya pengurusan masa, secara prinsipnya, mana-mana ajaran lain sekali pun akan menasihati penganutnya agar berbuat baik termasuklah dalam menjaga masa. Lebih-lebih lagi dalam ajaran Islam, tidak malukah kita sekiranya tidak menunjukkan sikap ini dan sedikit sebanyak menjejaskan imej Islam sendiri.
Dalam konsep sesebuah syarikat, setiap detik dan saat adalah berharga kerana ianya merupakan pelaburan yang perlu dibayar bagi operasi syariakt tersebut. Ianya dipanggil produktiviti syarikat. Sekiranya pengurusan masa kakitangan tidak dipatuhi daripada peringkat atasan hingga ke bawah, nescaya keadaan syarikat tersebut dalam keadaan tidak terurus.
Pengurusan masa bermula dari diri sendiri. Apa yang paling mudah adalah anda perlu uruskan sendiri diri anda dan jangan hiraukan apa yang orang lain lakukan. Bagi penulis, orang yang tidak menepati masa adalah orang yang gagal dalam setiap keadaan dan mencerminkan karektor individu tersebut. Bagaimana individu itu akan maju ke hadapan sedangkan masa sendiri tidak terurus.
Semoga coretan ini akan membuka mata masyarakat supaya hargailah masa yang akan berlalu detik demi detik dan saat demi saat kerana masa yang berlalu tidak akan kembali.
Coretan & keluhan penulis.